Manual Penanaman Cili Merah

PANDUAN MENANAM CILI MERAH

PENGENALAN
Cili ialah sayur jenis berbuah dan tanaman sayur tanah rendah. Varieti yang baik perlu mempunyai kandungan pepejal yang tinggi dan tahan terhadap penyakit dan serangan-serangan serangga.

· Varieti MC 11
Varieti ini mengeluarkan hasil 10 minggu selepas ditanam ke ladang dan berterusan sehingga musim berakhir.  Sifat pembuahan yang berterusan menyebabkan buah-buah cili dipetik setiap dua hari.  Sehingga musim berakhir lebih kurang 30 pemetikan dilakukan.  Varieti ini sesuai ditanam dan berupaya mengeluarkan hasil yang tinggi di pelbagai persekitaran dengan jarak tanaman 60 cm x 100 cm.
 
· Varieti MC 12
Varieti MC 12 sangat produktif, mempunyai dua puncak pengeluaran dan berupaya mengeluarkan hasil sehingga 4 bulan dengan sistem pengairan yang cekap.  sifatnya yang cepat matang (7 minggu selepas ditanam) dan pemetikan hasil dilakukan selang 5-6 hari.  Ini membolehkan buahnya dipetik sebelum diserang oleh penyakit.  Dalam tempoh 2 bulan penghasilan, hasil yang diperolehi antaa 20-29 tan/ha.  Pokoknya yang rendah dapat mengatasi masalah pokok rebah, oleh itu pancang-pancang tidak diperlukan.  Buahnya yang panjang, padat dan menarik sesuai untuk kegunaan segar dan pemprosesan.
 
· MC 4
Varieti ini dibiakkan oleh MARDI.  Saiz sederhana panjang, rasa kurang pedas.  Jangkamasa pengeluaran adalah pendek.  Pungutan hasil adalah selama 8-18 minggu selepas menanam.  Sederhana tahan pada penyakit antraknos, rentan pada virus.  Hasilnya ialah 12-20 tan/hektar.  Sesuai untuk ditanam secara besar-besaran.
 
· MC 5
Varieti ini dibiakkan oleh MARDI, saiz buah 10-15 sm, 10-15 g/biji, variasi dari segi bentuk buah kurang, tinggi pokok 100-200 sm, sangat pedas dan ianya sentiasa berbunga.  Jangkamasa pungutan adalah panjang (5 bulan).  Pungutan hasil selama 12-32 minggu selepas menanam.  Rentan pada virus antraknos dan virus.  Hasil adalah sebanyak 15-25 tan/hektar.
 
· Kulai
Saiz buahnya 12-15 sm, tirus, mesocap tebal, tinggi pokok adalah 60-180 sm, rasanya sangat pedas.  Hasil buah sebanyak 10-15 tan/hektar.

KERINTANGAN TERHADAP PENYAKIT
  1. Antraknos (MC 11 & 12 : rentan)
    Rawat biji benih dengan Thiram.  Sembur racun kulat Mancozeb.
     
  2. Kerekot Daun dan Mozek Daun (Leaf curl and mosaic virus)
    MC 11 rentan ; MC 12  escape. Penyakit-penyakit disebarkan oleh Kutu Daun.  Musnahkan pokok yang berpenyakit.
     
  3. Hawa Reput/PucukChoanephora (MC 11: sedikit tahan; MC 12: rentan)
    Sembur racun kulat Benomyl (Benlate).



PENANAMAN

Penyediaan Tanah:
  1. Di Ladang
    Bajak dan gemburkan tanah sedalam 15 hingga 22 cm (6-19 inci).  Sediakan batas berukuran 1.2m (4 kaki) lebar dan 22 hingga 30 cm (9-12 inci) tinggi.  Panjang batas mengikut keadaan kawasan.  Jarak antara batas ialah 45 cm (1.5 kaki).  Gaulkan tahi ayam reput sebanyak 25 kg bagi 50 meter persegi (500 kaki persegi) kawasan.
     
  2. Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
    Gunakan tanah campuran mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput atau kompos dan 1 bahagian pasir.  Isikan pasu dengan tanah campuran tersebut sehingga 5 cm (2 inci) dari permukaan pasu.

Menyediakan Anak Benih:
Bagi tanaman di ladang, sediakan kotak semaian berukuran 45 cm (18 inci panjang, 22 cmm (9 inci) lebar dan 10 cm (4 inci) tinggi.  Isikan kotak semaian dengan tanah campuran mengandungi 3 bahagian tanah, 1 bahagian tahi ayam reput dan 1 bahagian pasir.  Semai 5 gm biji benih ke dalam kotak semaian secara barisan dan tutup benih dengan lapisan nipis tanah.  Jarak tanaman ialah 5 cm (2inci) antara baris dan 2 cm (1 inci) antara pokok.  Siram dengan penyiram yang mempunyai semburan halus dua kali sehari.  Kotak semaian mesti dilindungi daripada cahaya matahari dan air hujan yang berlebihan.  Ubah anak benih ke ladang 3 hingga 4 minggu selepas disemai.  Sebelum diubah ke ladang, dedahkan anak benih kepada cahaya matahari selama 3 hingga 4 hari untuk mengeraskannya.

Menanam:
  1. Di Ladang
    Anak benih yang berumur 6 minggu boleh diubah terus ke batas.  Sebelum mencabut, basahkan kotak semaian supaya anak benih senang digali.  Kemudian, gali anak benih dengan segumpal tanah dan tanam terus ke batas.  Jarak tanaman ialah 90 cm (30 inci) antara pokok dan 150 cm antara baris
     
  2. Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
    Semai terus 3 atau 4 biji benih ke dalam pasu sedalam 2 hingga 5 cm (1 inci).  Tinggalkan hanya sepokok.


MENDAPATKAN POKOK CILI YANG RIMBUN

Untuk mendapatkan pokok cili yang rimbun dan subur, cara menanamnya perlu diberi perhatian.  Menanam anak benih cili secara menyendeng dan melenturkannya adalah salah satu cara yang baik bagi memperolehi pokok cili yang banyak ranting.  Bila pokok cili mempunyai ranting yang banyak, maka hasil cili juga akan bertambah berbanding dengan pokok cili yang kurang rantingnya.  Disamping itu, amalan menggetu (memetik) pucuknya juga akan menambahkan bilangan ranting pokok.

PENJAGAAN:
Menyiram
Siram pokok pada awal pagi dan lewat petang setiap hari kecuali hari hujan.

Membaja
1.      Di Ladang
Tabur baja NPK Blue Special (12:12:   17:2) di keliling pokok dengan kadar 1 sudu besar atau 10 gm sepokok setiap dua minggu.
 
2.      Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
Tabur sebanyak 1 sudu teh atau 5 gm baja NPK Blue Special (12:12  17:2) sepasu di keliling pokok setiap minggu.

Sungkupan
  1. Di Ladang  - Gunakan rumput-rumput  kering atau pelepah kelapa sebagai sungkupan
  2. Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain -Gunakan rumput-rumput kering.

Merumput
Bersihkan batas daripada rumpai dengan menggunakan tanah, cangkul atau tajak.  Bagi tanaman dalam pasu cabut rumpai untuk mengawalnya.

Kawalan Serangga dan Penyakit
Tanaman cili mengalami banyak masalah dan antara yang penting ialah masalah serangga perosak dan penyakit.  Berbagai-bagai jenis serangga perosak telah dikenalpasti menyerang tanaman cili pada semua peringkat pertumbuhan. 
PENYAKIT DAN PENYEBAB BAGI TANAMAN CILI
  • Bintik daun (Cercospora capsici)
    Bintik-bintik kecil bulat perang pada daun.  Amalkan tanaman giliran.  Sembur dengan racun kulat seperti chlorothalonil, mancozeb.  Rawat biji benih dengan racun kulat.
     
  • Hawar pucuk (Choanephora cucubitarum)
    Pucuk menjadi layu dan berwarna hitam, terdapat spora-spora hitam pada pucuk.  Rawat biji benih dengan racun kulat.
     
  • Reput pangkal (Sclerotium roolfsii)
    Pangkal pokok dan akar menjadi hitam dan reput.   Rawat biji benih dengan racun kulat.
     
  • Lecuh anak benih (Phthium sppp. dan Rhizoctonia spp.)
    Pangkal anak benih kelihatan seakan-akan lecuh.  Anak benih layu, rebah dan mati.
     
  • Layu bakteria ( Ralstonia solanacearum)
    Daun berwarna kuning, layu dan akhirnya mati.  Jika akar atau batang dipotong atau direndam dalam air akan mengeluarkan cecair jaluran putih.  Cabut dan bakar pokok yang berpenyakit dan amalkan tanaman giliran.  Perlu saliran yang baik.
     
  • Antraknos Buah
    Sembur racun kulat seperti Mancozeb


 Perosak
·        Kutu Daun:  Sembur racun serangga chlorphyritfos atau imidachloprid
·        Hamama Merah:  Daun yang diserang menjadi kerekot, kecil dan melengkung ke bawah.  Sembur racun seperti dicofol atau malathion
·        Afid:  Menghisap cecair daripada bahagian daun, pucuk dan bunga cili.  Serangan menyebabkan daun berkerekot dan pertumbuhan pokok muda terbantut. Selain itu, afid ialah pembawa penyakit virus.
·        Kutu Trip:  Menghisap cecair daripada bahagian daun, pucuk dan bunga.  Akibatnya daun menjadi kecil dan bentuk daun melengkung ke atas.  Kutu trip juga boleh menyebar virus.
·        Hama:  Daun yang diserang menjadi kerekot, kecil dan melengkung ke bawah.
·        Pengorek Buah:  Membuat lubang besar pada permukaan buah yang diserang.
·        Ulat Ratus:  Makan daun dan buah.
·        Lalat Buah:  Bertelur di kulit buah.  Larva merosakkan bahagian dalam buah mengakibatkan buah menjadi busuk dan berair.

 
Untuk pengawalan yang berkesan, pada peringkat semaian, benih cili hendaklah disemai di dalam rumah jaring kalis serangga.  Tujuannya ialah untuk menghalang serangan serangga perosak seperti afid daripada menyebar penyakit virus dan juga serangga-serangga lain yang boleh merosakkan tanaman cili.  Ini penting kerana anak-anak benih cili yang hendak diubah ke ladang mestilah sihat.  Anak-anak benih yang dijangkiti virus tidak boleh dipulihkan semula.  Tambahan pula anak-anak benih cili yang dijangkiti virus pada peringkat semaian sukar dikenalpasti kerana simptomnya tidak jelas seperti pada pokok dewasa.

Di ladang, batas-batas mestilah disungkup dengan plastik bersinar.  Pantulan cahaya daripada plastik bersinar ini mampu menghindarkan dan mengurangkan afid bersayap dan juga kutu trip hinggap pada tanaman cili.  Ini amat penting terutama pokok sekurang-kurangnya sehingga minggu ke -5 selepas diubah ke ladang.  Peringkat ini dianggap kritikal kerana jika jangkitan virus berlaku hasil akan berkurangan sebanyak 30% hingga 60%.

Disamping mengawal afid dan mengurangkan kejadian penyakit virus, penggunaan sungkupan plastik bersinar juga memberi beberapa kebaikan seperti:-
  • Membantu mengawal rumput-rumpai dan mengurangkan kos merumput;
  • Mengekalkan kelembapan tanah dan menstabilkan suhu tanah;
  • Menghalang hakisan baja oleh pengaliran air dan hujan.
  • Cahaya yang dipantul oleh sungkupan plastik bersinar boleh meningkatkan aktiviti stomata dan fotosintesis.

Akan tetapi, selepas minggu ke-5 sebahagian besar permukaan plastik akan dilindungi oleh rimbunan pokok cili.  Oleh itu, pantulan cahaya semakin berkurangan untuk menghalang hinggapan afid bersayap dan kutu trip.  Selepas tempoh ini, dicadangkan supaya racun serangga terpilih yang berkesan digunakan dan disembur apabila perlu sahaja.  Seelok-eloknya setiap semburan diulang selepas 7 hari sehingga masalah perosak dapat diatasi.
Pada peringkat berbuah pula, jika tidak diawasi dengan teliti buah-buah cili boleh dirosakkan oleh perosak buah dan lalat buah.  Racun perosak terpilih yang berkesan boleh digunakan mengikut peraturan yang disyorkan bagi mengurangkan kerosakan oleh perosak-perosak tersebut.  Perkara penting yang perlu dipatuhi bagi penyemburan semasa peringkat berbuah ialah hasil hanya boleh dituai selepas 7 hari penyemburan dilakukan.
Pengawalan dengan menggunakan musuh semula jadi tanaman cili seperti kumbang, kura-kura, lalat sirfid dan kutu sibur-sibur juga boleh diamalkan.  Serangga-serangga ini gemar makan afid manakala bakteria Bacillus thuringiensis digunakan untuk mengawal serangga-serangga perosak seperti ulas pengorek buah dan ulat ratus.
Bagi petani yang ingin mengusahakan penanaman cili secara kecil-kecilan, sistem tanaman berbilang seperti selingan antara cili dengan jagung boleh diamalkan.  Sistem ini berupaya mengurangkan kira-kira 60% afid bersayap dan boleh mengurangkan kejadian penyakit virus sebanyak 50-60% tanpa semburan racun serangga.  Sistem ini menggalakkan kehadiran kumbang kura-kura yang makan afid pada jagung.  Secara tidak langsung, kumbang kura-kura ini juga akan memusnahkan afid yang ada pada tanaman cili.  Bagi petani yang ingin mengusahakan penanaman cili secara sistem selingan antara jagung dengan cili, perlu diingat bahawa tanaman jagung mestilah ditanam 3 atau 4 minggu lebih awal sebelum anak benih cili diubah ke ladang, tetapi sistem ini kurang sesuai untuk penanaman secara komersial kerana terdapat masalah dalam operasi penjenteraan.
Selain amalan pencegahan dan pengawalan perosak, penanam cili harus sedar bahawa aspek pengurusan tanaman seperti pengairan dan pembajaan juga penting bagi menentukan pengeluaran hasil yang tinggi dan bermutu.

MEMUNGUT HASIL
(1)     Di Ladang
Cili boleh dipetik 8 minggu selepas diubah ke ladang.  Pungutan hasil dibuat setiap 3 atau 4 hari.  Anggaran hasil dari kawasan 50 m (400 kaki) persegi ialah 100 - 200 kg.
· Cili HIjau
Harga ialah antara RM4.00 ke RM6.00.
Pendapatan (kasar ialah antara RM400.00 ke RM1,200.00.
 
· Cili Merah
Harga ialah antara RM5.00 ke RM8.00. 
Pendapatan kasar ialah antara RM50.00 ke RM1,600.00
(2)     Dalam Pasu dan Bekas-Bekas Lain
Mulalah memetik buah 12 minggu selepas ditanam.  Anggaran hasil ialah 0.8 hingga 15 kg sepokok.
SPESIFIKASI PIAWAIAN DAN GRED CILI MERAH
Spesifikasi gred ini meliputi semua varieti dan jenis cili merah tempatan yang dipasarkan.  Cili yang dipasarkan sebagai cili hijau tidak termasuk di dalam sko spesifikasi ini.
Indeks 1:
Tidak matang - Cili berkenaan dipasarkan sebagai cili hijau.  Kulit cili berkenaan berwarna hijau muda.
Indeks 2:
Cukup matang - Kulit cili berkenaan berwarna hijau tua dan berkilat dan dipasarkan sebagai cili merha.
Indeks 3:
Cukup matang - Kulit cili berkenaan kelihatan berwarna merah dan hijau (hijau merah).
Indeks 4:
Cukup matang - Kulit cili berkenaan berwarna merah kehitaman (hampir masak) tetapi msih diterima oleh pasaran di peringkat runcit.
Indeks 5:
Cukup matang - Kulit cili berkenaan berwarna merah sepenuhnya.
Indeks 6:
Terlalu matang - Kulit cili berkenaan berwarna merah kehitaman.

PEMBUNGKUSAN DAN PERLABELAN
· Pembugkusan
Cili merah dari gred yang sama hendaklah dibungkus menggunakan bekas yang sesuai supaya dapat memberi perlindungan yang optimum daripada kerosakan semasa pengendalian dan pengangkutan.
 
· Perlabelan
Tiap-tiap unit pembungkusan hendaklah dilabel yang mengandungi maklumat berikut:- Tarikh, nama/kod penanaman, nama/kod pengeksport, nombor kad pengenalan, nombor pendaftaran syarikat, alamat, komoditi, berat bersih dan gred.

PERSAMPELAN
Bilangan sampel dan kaedah persampelan bagi tujuan pemeriksaan adalah berdasarkan kepada MS 1187:1990 Method of Sampling for Fresh Vegetables, atau kaedah statistik yang dipersetujui.